Saturday, May 12, 2012

Penconteng Dan Tong Gas


Zaman sekolah dulu penconteng memang jahat tak macam sekarang. Tapi sekarang ni penconteng baik cuma tak sejahat macam dulu la. Sejak-sejak dah tua ni mungkin badan pun takde kederat sangat nak buat kerja-kerja jahat ni. Setakat kerja jahat yang ringan-ringan tu lepas lagi la.

Dulu time sekolah semua benda penconteng rembat. Selalunya rakan jenayah penconteng ialah seorang puaka nama Meor. Entah hidup ke tidak budak Meor ni sekarang. Kalau dia hidup penconteng syak kalau tak dekat pusat serenti mesti dia tengah ada kat penjara Mexico sekarang.

" Malam ni lu jangan pergi mana-mana,dalam pukul 2 pagi, gua datang ambil lu", kata Meor tegas sebagai mastermind.

Malam itu seperti yang tidak dijanjikan, Meor datang ketika jarum pendek di jam hampir mencecah angka empat. Penconteng memakai jaket dan menyarung selipar dengan tergesa-gesa. Sambil melompat ke atas motosikal Meor, penconteng menghadiahkan satu ketukan tangkas di kepalanya. Meor cuma tersengih.

Sampai di tempat kejadian, Meor mengarahkan penconteng menunggu di motosikal. Kalau ada apa-apa buat bunyi burung hantu katanya. Dia kemudiannya lesap di sebalik semak samun sambil penconteng memprektis bunyi burung hantu di dalam hati. Malam makin sunyi,sesunyi embun pagi. Kahkahkah!

"Ktangg!!!"

Satu bunyi ketukan memecahkan keheningan malam. Penconteng tahu itu petanda Meor sedang menjalankan tugasnya. Selang beberapa minit kemudian,satu lagi bunyi ketukan kedengaran. Nampaknya mangga rantai untuk misi kali ni memerlukan lebih dari satu ketukan tapi penconteng yakin dengan Meor. Dia profesional dalam melakukan dosa.

Selang beberapa minit kemudian, Meor muncul dari kegelapan dengan menggolek sebijik tong gas. Selepas menyerahkan tong gas tersebut kepada penconteng tanpa ada adat istiadat penyerahan, Meor hilang semula. Tidak lama selepas itu dia kembali lagi dengan sebijik lagi tong gas. Dua bijik tong gas memang cukup menampung keperluan nikotin kami untuk beberapa minggu..

Tanpa rasa bersalah, dua orang pemuda menunggang motosikal scooter VS125 berkaler biru dengan dua bijik tong gas yang diletakkan secara bertingkat menongkah arus malam dengan muka yang riang seperti esok pasti ada untuk mereka.

Esoknya di sekolah, penconteng sedang dalam keadaan resah gelisah menantikan bunyi loceng rehat. Tenaga penconteng untuk belajar sudah semakin kehabisan dan perlu diisi dengan segelas air sarsi di kantin. Semasa zaman persekolahan, penconteng jarang makan di kantin sekolah. Mungkin itulah juga sebabnya badan penconteng berada dalam keadaan fit dan bukannya obesiti.

Loceng berbunyi dan penconteng melangkah dengan hati yang senang ke kantin. Kesejukan air sarsi masuk ke tekak mula terbayang di fikiran penconteng. Ketika sudah hampir ke kantin, penconteng melihat Meor sedang mencarut-carut seperti orang tidak mempunyai akal. Sebenarnya kalau tak mencarut pun dia takde akal jugak penconteng syak.

" Bongok punya makcik kantin, dah masuk waktu rehat satu apa pun tak siap masak lagi!! Pesen serupa kedai siam, nak goreng mee pun lembab ! ", jawab Meor sambil menendang tong sampah ketika penconteng menanyakan kenapa dia berkelakuan gila.

" Setan, kalau dah tahu lu tu tak boleh miss makan kat kantin, lain kali rembat la tong gas orang lain ! ", balas penconteng sambil berjalan ke arah kantin. Meor menepuk dahi dan penconteng bersyukur kerana air sarsi tidak memerlukan gas untuk membuatnya.



P/s : Siang tadi baru penconteng berspirit nak memasak tiba-tiba gas habis. Mungkin inilah yang dikatakan karma.

No comments: