Sunday, February 24, 2013

Penconteng dan Azimat


Beberapa tahun yang lepas, penconteng sedang duduk di satu perhentian bas. Buat apa penconteng duduk kat situ, penconteng pon dah lupa. Sedang penconteng menyumpah sambil melihat makwe memeluk erat pinggang pakwe di atas motosikal, seseorang menghampiri penconteng sambil memberi salam. Seorang tua berbaju melayu dah lupa kaler apa, bermisai tebal dan bersongkok tinggi sedang tersenyum. "Tabligh!", jerit penconteng dalam hati. Kalau nak lari nampak sangat tak senonoh, jadi penconteng jawab salam, angguk kepala sikit, dan berikan senyuman. Seperti biasa, senyuman penconteng sentiasa manis.

Dalam hati kecil penconteng berfikir memang susah nak jumpa tabligh yang lone ranger macam ni, selalunya tabligh akan datang sekumpulan. Otak penconteng membuat rumusan, tabligh yang datang sorang sorang ni dia punya level mesti tinggi, paling kurang mesti pangkat staff sarjan. Penconteng perhati sekeliling, mungkin ada mana mana puaka yang penconteng kenal lalu berhampiran dan boleh diumpan jadi mangsa sekali. Kena ceramah sorang sorang memang tak patut.

Penconteng sedikit lega bila orang tua tersebut diam sambil memanding langit. Bajet deep. Tapi selepas beberapa ketika, dia menoleh pada penconteng. Penconteng panik. "Ingin belajar satu azimat?", tanya pakcik tersebut. Penconteng auto geleng kepala. Apa gila belajar azimat kat perhentian bas, tak pernah dibuat mana mana drama pun. Pakcik itu tersenyum lagi. Penconteng panik lagi.

"Jangan cepat menolak, lebih lebih lagi kalau yang datang itu rezeki", kata pakcik tua tersebut sambil memulas hujung misainya. "Takpela pakcik, saya tak sesuai", penconteng menolak dengan cara sopan. Pakcik itu ketawa kecil, macam penconteng baru lepas buat lawak hambar. "Begini, biar pakcik terangkan dahulu tentang azimat tersebut", kata pakcik tersebut.

*** Penerangan pakcik itu mengenai azimat tersebut terpaksa dirahsiakan supaya tidak ada yang tersesat***

Burung burung berkicau, angin sepoi sepoi bahasa dan akhirnya pakcik tua itu selesai memberikan penerangannya. Penconteng mula terpedaya. Bola mata penconteng bersinar macam baru tahu rahsia macam mana nak buat Kame Hame Ha. "Tapi ada syaratnya", pakcik itu mematikan semangat penconteng. Penconteng terus bertanyakan apa syaratnya.

"Syaratnya mudah sahaja, jangan mendedahkan aurat dan juga bahagian badan pada sesiapa termasuk ahli keluarga. Jika tidak ilmu itu tidak akan mujarab", kata pakcik tua tersebut. Penconteng terus pandang keadaan penconteng pada masa itu. Berseluar pendek, berbaju tanpa lengan, berselipar jepun. Masa itu penconteng memang cukup rebel, naik bas pun kadang kadang nak ikut pintu kecemasan.

Tidak lama selepas itu pakcik tua tersebut beredar dan penconteng melupakan seketika tentang perkara itu. Esoknya penconteng bangun dengan bersemangat. Sambil keluar terajang pintu bilik, penconteng pergi bersarapan pada pukul 1 petang. Ada member baru hello nak ajak lepak. Selepas siap mandi, penconteng memilih baju untuk dipakai. Tiba tiba, penconteng teringat semula kata kata pakcik tersebut. Penconteng berfikir sejenak.



Petang itu penconteng menunggang motosikal dengan berseluar pendek dan bertshirt belang belang. "Pergi meninggal dengan azimat", jerit hati rebel penconteng.

Tuesday, January 15, 2013

Azam....



Dah 2013,  semua orang sibuk pasang azam.  Mana yang tengok orang sibuk pasang  azam tu pulak kucar-kacir reka azam mengarut sebab nak ikut trend. Mana yang tak ada azam dan steady  tak ada azam terus rileks cucuh rokok sambil pekena sembang politik. Mana yang geng Najib, sembang kutuk Anwar, mana yang geng Anwar,  sembang kutuk Najib,  mana yang mengaku neutral, sembang kutuk Anwar dan Najib. Yang kaki konsert pekena pergi konsert,  mana yang kaki romen cari port beromen,  mana yang hisap dadah,  hisap dadah macam biasa,  mana yang mabuk terus mabuk macam badan kalis api neraka,  mana yang tak rosak sangat pergi dengar ceramah agama. Maka bertempiaranlah semua mengikut cara masing-masing.


Penconteng  nak sembang pasal dua benda je,  bahagia dan kemaafan.  Dia punya bunyi dah macam deep kan ? Sabar, bunyi ja deep,  isi dia belum tentu lagi.  Dari 2012 membawak ke 2013,  penconteng  sibuk cari bahagia. Bahagia tu pulak tak datang percuma. Kalau penconteng  bahagia, orang lain belum tentu bahagia.  Kalau orang lain bahagia,  penconteng  pulak belum tentu bahagia. Nak buat semua bahagia  pun boleh masuk kategori kerja gila. 


Ok, penconteng kejar bahagia penconteng dulu. Tapi kat sini, orang lain dah tak bahagia. Ni kompem salah penconteng. Jadi penconteng nak mintak maaf kalau ada yang tak bahagia disebabkan penconteng.  Tak kisahlah keluarga,  makwe atau sahabat handai, rakan taulan. Bila ada yang tak maafkan penconteng pun, penconteng boleh terima.  Yelah,  kalau memaafkan orang tu tak membahagiakan bagi pihak dia,  takkan penconteng  nak paksa ye dak ? Lagipun sebagai orang yang salah, penconteng  kena terima apa jua keputusan orang lain sebab orang lain berhak. Tapi percayalah, sebagai manusia biasa, kadang-kadang penconteng terlanjur ikut kata hati dari ikut logik otak. 



Sekali lagi penconteng mintak maaf dan untuk tahun 2013 ni dan tahun-tahun yang mendatang, harap bahagia tu milik kita semua.


Friday, August 24, 2012

Selamat Hari Raya !



Tahun ni memang kompem-kompem penconteng beraya tanpa hajat yang kesampaian lagi. Nak dapat  hajat tu sebelum sembahyang pagi raya nampak sangat kerja tahyul, jadi penconteng postponed je hajat penconteng tu. Harap-harap raya haji nanti bakal menantu datang bertamu..Perghh..macam cilake pulak ayat penconteng ye dak ?

Oleh kerana hajat penconteng ingin beraya di Canada tidak kesampaian, maka seperti tahun-tahun yang lepas penconteng akan beraya di Bangi pada tahun ini. Dan seperti juga tahun-tahun yang lepas,tahun ini juga penconteng tidak mempunyai spirit untuk beraya..

Penconteng syak spirit raya ni hilang sejak penconteng sedar adanya diskriminasi dalam pemberian duit raya..Tapi jangan risau, tetamu-tetamu yang datang tetap dilayan seperti meriah dan bergaya. Jadi silalah datang kalau tidak percaya.

Tahun ni penconteng akan menghentikan pemberian duit raya pada budak-budak yang datang. Penconteng ingat nak bagi mercun bola je sebijik sorang. Siapa yang cedera paling bergaya sekali baru dapat duit raya.

Pada tetamu dari generasi muda, kita akan melepak depan tivi sambil menonton sarkas macam biasa. Elemen-elemen freemason boleh juga dikaji mengikut minat masing-masing. Lu orang nak lepak berapa lama pon lepak lah selagi penconteng masih mempunyai mood. Kalau mood tu hilang tiba-tiba, pandai-pandai la cepat-cepat sarung selipar masing-masing di luar.

Pada golongan emas pula, penconteng rasa cukuplah sekadar menjamu selera di dapur sambil berbincang pasal akhirat. Nak bincang pasal Rozita Che Wan pon penconteng tak marah. Tapi kalau dengar dek bini masing-masing jangan pulak nak salahkan tuan rumah.

Sempena aidilfitri ini, penconteng ingin meminta maaf sepanjang kejahatan yang penconteng lakukan sejak raya kedua tahun lepas. Mana-mana kejahatan yang penconteng lakukan selepas ni penconteng akan mintak maaf pada raya tahun depan pulak.

Oh ye, pada siapa-siapa yang nak datang beraya esok jangan datang sebelum pukul dua sebab lepas sembahyang raya esok penconteng ingat nak stay terus kat masjid sampai sembahyang zohor. keh keh keh...





p/s : Satu baju raya pon penconteng tak beli tahun ni.. Susah-susah, penconteng beraya pakai baju taekwando je tahun ni.

Friday, July 27, 2012

Agak-agak la pakcik.


" puasa ni bukan setakat menahan lapar dan dahaga. Macam-macam lagi kita kena jaga, iman dengan mulut tu kena selevel baru la kita tak ada cakap benda-benda yang lagho ni.. "

Penconteng dengan sorang puaka dah terkebil-kebil.  Tak pasal-pasal belum seminggu puasa dah kena sekolah dengan pakcik entah mana-mana. Tapi silap puaka sebelah peconteng jugak, bukan nak ingat puasa ke tidak, mulut nak laju je mencarut. Tapi pakcik ni boleh tahan juga power, berani dia sound penconteg dengan puaka yang dua kali tinggi dari dia. Penconteng syak kalau bukan bekas polis, mesti pakcik ni bekas jaga bank.

Kalau tak ingat puasa, penconteng dah sound balik pakcik pendek ni. Tapi sebab hari ni penconteng real punya puasa, nak menjawab pon macam tak larat. Dalam kepala dah terbayang air ribena. Puaka dekat sebelah pon pura-pura sopan sama. Kagum jugak penconteng dibuatnya.

Bila pakcik tu pandang je tempat lain, penconteng dengan puaka terus lesapkan diri. Misi puaka tadi nak tengok lengan makwe kat bazar ramadhan mesti diteruskan. Silap-silap boleh dapat partner puaka tadi untuk beraya sama-sama nanti.  Bila sampai je bazar ramadhan, penconteng dengan puaka dah rasa nak mencarut sekali lagi. apa kemain ramai sangat orangnya ni. Penconteng syak orang sekarang dah tak pandai guling-guling depan tivi sementara tunggu azan maghrib.

Puaka sibuk nak beli murtabak. Nak beli murtabak dekat bazar ramadhan pulak bukan kerja senang, silap-silap nyawa boleh melayang sebab berebut dengan abang-abang badan ketak. Puas penconteng nasihat suruh beli apam balik je, puaka tak nak dengar. Nak jugak beli murtabak. Katanya kalau takde murtabak, buka puasa nanti tak berapa happening. Kadang-kadang dengar ayat ni keluar dari mulut orang yang pukul 2 petang dah kunyah chewing gum menyirap jugak rasanya.

Sementara tunggu puaka beratur beli murtabak, mata pencoteng lincah tengok sekeliling. Betul-betul seberang jalan mengadap bazar ramadhan tu ada kedai toto. Orang dekat dalam kedai toto tu sama ramai dengan orang kat bazar ramadhan. Susah jugak kalau ramai sangat pakar matematik ni ye dak ? Asyik nak tengok nombor je kerjanya.

Bila penconteng nampak satu muka yang familiar, terus penconteng tepuk bahu puaka. Puaka yang beratur dari tadi sekarang dah sampai depan. Lagi dua orang sampailah turn dia dapat murtabak. Bila dia tengok je jari penconteng tuding ke kedai toto, puaka terus berlari ke jalan.

" pakcik bonsai oi !! Iman dengan otak tu kena selevel jugak ! Tak kan la nak beli lauk buka puasa nanti guna duit toto !! ", jerit puaka takde fikir dah perasaan orang tua. Penconteng senyum nipis. Puaka senyum jugak tanda puas. Sekelip mata je, pakcik tadi terus hilang. Entah ilmu apa dia guna.

Bila penconteng tengok je puaka menghala balik ke gerai murtabak tadi, penconteng dah mula asah lutut. Macam jahanam punya perangai.



Ada dekat 30 orang nak kena tunggu sampai turn dia balik.

Friday, May 18, 2012

Selamat Hari Cikgu !!! Cikgu !!!


Sebut pasal cikgu, mesti dalam otak dah imagine lelaki buncit pakai kemeja, seluar slack, rambut sikat tepi, pakai spec. Kalau pompuan pulak pakai baju kurung bunga2, jubah kalau ustazah, tudung satu tone, bawak buku 2-3 bijik. Kenderaan tipikal bagi cikgu ialah Toyota Unser. Kalau yang jenis save sikit tu drive kancil ex650 je.

Jarang kita tengok muka cikgu jenis barua. Diaorang semua boleh kata sepaten, semua muka budak baik. Cikgu displin pon muka skema jugak sebenarnya cuma diaorang terpaksa berpura-pura kental. Tapi penconteng tak nak cerita pasal cikgu sekolah sebab penconteng rasa dah ramai yang wish terima kasih kat golongan ni.

Penconteng nak ucap terima kasih kepada golongan cikgu yang mungkin dilupai dalam sambutan hari guru ni. Pertama sekali penconteng nak ucap terima kasih kat cikgu driving school penconteng, Pakcik Atan. Terima kasih sebab jadikan penconteng seorang pemandu kereta yang berkaliber yang tidak pernah lupa memberi signal ketika masuk simpang, tidak pernah menggunakan henset semasa memandu dan tidak pernah makan jalan orang lain.

Kedua, terima kasih kepada cikgu cinta penconteng iaitu imaginary friends penconteng sendiri, Bob. Tanpa beliau penconteng syak penconteng akan jadi seperti loser-loser yang lain yang tak pernah menikmati percintaan. Ok, ayat penconteng dah macam cilake. Walaupon penconteng solo sebelum ni tak bermakna Bob tidak menjalankan tugasnya, cuma penconteng rasa belum datang seru je lagi masa tu. Bob selalu cakap, persamaan kuantum, tarikan molekul dan timing adalah 3 perkara yang diperlukan dalam menjayakan siri cinta dan penconteng tak kan lupa tu smpai bila-bila.

Ketiga, cikgu fesyen penconteng. Dengan berkat tunjuk ajar mereka, penconteng tidak lagi memakai baju melayu dan berseluar jeans ke masjid. Terlalu kampung kata mereka. Dan penconteng jugak tidak berbaju melayu sepersalinan siap dengan samping. Terlalu poyo kata mereka.. Cukuplah bertrack-suit dan berbaju t-shirt kosong. ringkas dan mudah.

Keempat, terima kasih cikgu kejahatan penconteng. Cikgu kejahatan penconteng agak ramai dan diaorang ada pengkhususan masing-masing .Penconteng belajar hisap rokok dengan cikgu lain, belajar buat dapur dengan cikgu lain, belajar terajang orang dengan cikgu lain dan belajar cilok air tin di pasaraya dengan cikgu yang lain pulak. Benda ni penting sebab lu orang tak kan tahu betapa durjananya satu-satu perkara itu selagi lu orang tak buat sendiri. Yang penting hati kena kental.

Kelima, cikgu idea buruk. Yang ni memang bersepah keliling penconteng. Bila penconteng dalam sesuatu situasi yang memerlukan idea yang bernas, diaorg akan datang memberikan idea-idea jahanam diaorang dan menyebabkan benda yang patot jadi A dah jadi K.. Tapi penconteng percaya kita tak akan belajar sesuatu selagi kita tak buat silap dan terima kasih pada diaorang..

Penconteng juga nak ucapkan terima kasih pada cikgu masak-masak, cikgu laman sosial, cikgu lawak macam haram, cikgu catur, cikgu redtube dan banyak lagi. Cikgu yang penconteng tak sebutkan di sini. Dan penconteng juga nak buat pengakuan sebelum penconteng akhiri entri kali ini iaitu….







Penconteng tak tulis pasal cikgu sekolah sebab satu nama cikgu pon penconteng dah tak ingat.






Maafkan kederhakaan saya cikgu. Selamat Hari Guru !!!


Saturday, May 12, 2012

Penconteng Dan Tong Gas


Zaman sekolah dulu penconteng memang jahat tak macam sekarang. Tapi sekarang ni penconteng baik cuma tak sejahat macam dulu la. Sejak-sejak dah tua ni mungkin badan pun takde kederat sangat nak buat kerja-kerja jahat ni. Setakat kerja jahat yang ringan-ringan tu lepas lagi la.

Dulu time sekolah semua benda penconteng rembat. Selalunya rakan jenayah penconteng ialah seorang puaka nama Meor. Entah hidup ke tidak budak Meor ni sekarang. Kalau dia hidup penconteng syak kalau tak dekat pusat serenti mesti dia tengah ada kat penjara Mexico sekarang.

" Malam ni lu jangan pergi mana-mana,dalam pukul 2 pagi, gua datang ambil lu", kata Meor tegas sebagai mastermind.

Malam itu seperti yang tidak dijanjikan, Meor datang ketika jarum pendek di jam hampir mencecah angka empat. Penconteng memakai jaket dan menyarung selipar dengan tergesa-gesa. Sambil melompat ke atas motosikal Meor, penconteng menghadiahkan satu ketukan tangkas di kepalanya. Meor cuma tersengih.

Sampai di tempat kejadian, Meor mengarahkan penconteng menunggu di motosikal. Kalau ada apa-apa buat bunyi burung hantu katanya. Dia kemudiannya lesap di sebalik semak samun sambil penconteng memprektis bunyi burung hantu di dalam hati. Malam makin sunyi,sesunyi embun pagi. Kahkahkah!

"Ktangg!!!"

Satu bunyi ketukan memecahkan keheningan malam. Penconteng tahu itu petanda Meor sedang menjalankan tugasnya. Selang beberapa minit kemudian,satu lagi bunyi ketukan kedengaran. Nampaknya mangga rantai untuk misi kali ni memerlukan lebih dari satu ketukan tapi penconteng yakin dengan Meor. Dia profesional dalam melakukan dosa.

Selang beberapa minit kemudian, Meor muncul dari kegelapan dengan menggolek sebijik tong gas. Selepas menyerahkan tong gas tersebut kepada penconteng tanpa ada adat istiadat penyerahan, Meor hilang semula. Tidak lama selepas itu dia kembali lagi dengan sebijik lagi tong gas. Dua bijik tong gas memang cukup menampung keperluan nikotin kami untuk beberapa minggu..

Tanpa rasa bersalah, dua orang pemuda menunggang motosikal scooter VS125 berkaler biru dengan dua bijik tong gas yang diletakkan secara bertingkat menongkah arus malam dengan muka yang riang seperti esok pasti ada untuk mereka.

Esoknya di sekolah, penconteng sedang dalam keadaan resah gelisah menantikan bunyi loceng rehat. Tenaga penconteng untuk belajar sudah semakin kehabisan dan perlu diisi dengan segelas air sarsi di kantin. Semasa zaman persekolahan, penconteng jarang makan di kantin sekolah. Mungkin itulah juga sebabnya badan penconteng berada dalam keadaan fit dan bukannya obesiti.

Loceng berbunyi dan penconteng melangkah dengan hati yang senang ke kantin. Kesejukan air sarsi masuk ke tekak mula terbayang di fikiran penconteng. Ketika sudah hampir ke kantin, penconteng melihat Meor sedang mencarut-carut seperti orang tidak mempunyai akal. Sebenarnya kalau tak mencarut pun dia takde akal jugak penconteng syak.

" Bongok punya makcik kantin, dah masuk waktu rehat satu apa pun tak siap masak lagi!! Pesen serupa kedai siam, nak goreng mee pun lembab ! ", jawab Meor sambil menendang tong sampah ketika penconteng menanyakan kenapa dia berkelakuan gila.

" Setan, kalau dah tahu lu tu tak boleh miss makan kat kantin, lain kali rembat la tong gas orang lain ! ", balas penconteng sambil berjalan ke arah kantin. Meor menepuk dahi dan penconteng bersyukur kerana air sarsi tidak memerlukan gas untuk membuatnya.



P/s : Siang tadi baru penconteng berspirit nak memasak tiba-tiba gas habis. Mungkin inilah yang dikatakan karma.

Friday, April 13, 2012

Penconteng - Syiela fahsha. kahkahkahkah


Okay. kali ni penconteng taknak tulis entri apa-apa. kalau lu orang nak kutuk pergi meninggal dengan lu orang. kakakaka. Penconteng pedulik apa ! Yang nak kutuk boleh pergi dekat hujung belah kanan sekali ada button merah. tekan dekat situ. Tak susah kan ?

Jadi....

Ahh.. serius penconteng takde idea nak tulis arini.

P/s : rase-rase lu orang penconteng boleh jadi penyanyi ? pppuuuiii ! kakakaka




Penconteng Dan 3 Little Girls.



Scene lepak cc berjam-jam penconteng dah tak berape into sangat dah sekarang ni. Ada satu sebab je penconteng tak lepak cc dah,budak-budak sekarang banyak sangat layan web porn. Penconteng takot penconteng terpengaruh. Tapi tadi penconteng terpaksa naik cc sebab nak cari sorang puaka ni.


Bila penconteng naik je, penconteng tengok cc penuh dengan budak-budak. Penconteng dah mula nak menyirap. Penconteng tarik kolar baju sorang budak terus tanya,  " nampak kicap tak ? ".


" sini cc bang, bukan kedai runcit ", jawab budak tadi tanpa rasa bersalah. Terus penconteng kaut kepala dia hentak kat keyboard. " gua cari orang nama kicap, bukan cari kicap cap kipas udang ! ", terang penconteng dengan detail. Budak tadi itu mengerekot kesakitan.


" kicap keluar beli nombor jap ", kata seorang puaka yang penconteng kenali. " kicap, kicap, hati kau pon sehitam namamu ", monolog penconteng seorangan persis sinetron Indonesia. Cuma penconteng tak jegilkan biji mata je.


Baru sahaja penconteng mahu melangkah keluar dari cc penconteng terpandang sesuatu. Ada 3 pc sebaris tengah digunakan sekumpulan budak-budak pompuan. Mengikut firasat seorang brader-brader, penconteng syak umur diaorang tak melebihi subjek geografi lagi. Mungkin masih di tahap subjek kajian tempatan.


Tapi bukan umur diaorang yang menarik minat penconteng tapi apa yang tengah tertera di skrin pc diaorang. Tiga-tiga budak pompuan tadi tu tengah tulis blog. Sifat ingin tahu penconteng meluap-luap. Adrenalin mengalir-ngalir. Penconteng rapati kumpulan budak pompuan itu pada jarak yang tidak boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.


" eh eh, kau tulis pasal ape ? '', soal sorang budak perempuan berambut ekor kuda kepada budak perempuan bertudung hitam. " aku tulis pasal aku kene marah dalam kelas tadi la ", jawab budak perempuan bertudung hitam dengan muka separa muram.


" kau tulis pasal ape pulak ? ", soal budak perempuan berambut ekor kuda lagi. Kali ini kepada budak perempuan berambut pendek macam Winona Ryder. Comel comel. " aku tulis pasal abang aku. dia kan suka kacau aku. kau ? ", jawab budak perempuan berambut pendek macam Winona Ryder dan pada masa yang sama memulangkan kembali pertanyaan kepada budak perempuan berambut ekor kuda.


" aku tulis pasal afiq ", jawab budak perempuan berambut ekor kuda sambil tersengih-sengih macam muka nak mintak pelempang. Serentak kawan-kawannya yang terdiri daripada budak perempuan bertudung hitam dan budak perempuan berambut pendek macam Winona Ryder menyebut " eeeeeeeeeeeee!! " secara serentak dan harmoni.


Penconteng tersedar dari lamunan. Ape cilake penconteng pergi layan budak-budak kecik macam ni. Penconteng keluar dari cc dengan perasaan sesal kerana membiarkan otak penconteng terpengaruh.




" budak-budak memang melalaikan ", bisik hati penconteng..


Wednesday, April 11, 2012

Suspek kepala bana !!


Beberapa hari yang lepas...

Penconteng sedang mencekak pinggang sambil melihat ke arah pokok bunga di depan rumah. Sesekali penconteng tersenyum. Hidup bertemankan seorang makwe memang ohsem. Lebih-lebih lagi bila datang musim buah durian.  Memang cik ampang lah di sisi untuk memujuk penconteng dengan gaya paling comel untuk makan buah durian. Sampai dajal turun pon penconteng takkan sentuh dan bau durian.  kakakaka

PREEEENNNGGG !! PRENNGGG !! PRENGGGGG !!

Sebijik motor Honda EX5 sedang terbabas masuk ke area laman rumah penconteng. Jika tidak dihalang mungkin puaka ini akan terbabas sampai ke Sg.Besi. Dengan tangan masih mencekak pinggang, penconteng hulurkan kaki kanan menghadang motor tersebut. Motor itu berhenti, penunggangnya terpelanting ke tepi garaj kereta, kaki penconteng sedikit kebas. Kebas tapi masih steady.

" haa, lu Bob ! Bawak motor serupa cilake ape jadah ? Lu tahu tak orang gemuk tak sesuai merempit ? ", soal penconteng sambil memberikan renungan makrifat.

" brek gua tak makan la ", jawab Bob dgn muka kesian.

" haa, apesal datang rumah gua ni ? ", soal penconteng sambil membetulkan lipatan kaki seluar jeans.

" dahaga ni. Bagi la air dulu. air masak pon takpe, tapi kalau air oren lagi bagus ", jawab Bob sambil melihat-lihat sikunya yang sedikit luka kesan dari pelantingan tadi.

" meh sini ’’, jawab penconteng ringkas. Bob mengekori dari belakang. Sampai di beranda rumah penconteng hulur sebotol besar air pada Bob. Penconteng menyuruh Bob menyambung kembali perbualan kami tadi.

" Lu tahu tak Apis masuk dalam malam tadi. Die saspek ape entah. ", gosip Bob sambil meneguk air dari botol yang penconteng bagi tadi. Penconteng mengucap panjang.

Cukup penconteng tak sangka Apis yang merupakan antara puaka berhati murni yang penconteng kenali pon terjebak sama dalam masalah ni. Sambil memikirkan hal Apis, penconteng melihat ke langit. Kelihatan langit cerah. Masa yang sesuai untuk bermain layang-layang.



Hari ini...

Sedang penconteng asyik duduk di atas buaian di bawah sinar rembulan, penconteng terlihat satu susuk badan yang penconteng kenali lalu di depan rumah. " Woii Apis !! Lu sini jap ", jerit penconteng tanpa segan silu. Apis datang ke arah penconteng dan duduk di sebelah tanpa disuruh.. "apesal ? ", tanya Apis ringkas.

" Lu nak jadi ape ni Apis sampai masuk-masuk dalam ni ? Lu jadi saspek ape ? Lu isap dadah ke ? Kan gua dah kata jangan isap dadah jangan isap dadah lu degil jugak kan. Lu betul-betul macam budak-budak. Cepat sangat terpengaruh, budak-budak pon setakat terpengaruh dengan tivi je. Lu tengok diri lu sekarang. Kurus, pucat pulak tu. Ape nak jadi la dengan lu ni Apis ", bebel penconteng bertalu-talu.

" Lu cakap cilake ape ni ? Gua baru keluar wad, saspek denggi la saitann !! ", balas Apis dengan lincah.




Penconteng buat-buat tengok lampu.







P/s : Bob, kalau lu baca entri ni penconteng nak kasitau lu satu je. Cepat-cepat keluar dari Malaysia sebelum penconteng dapat jumpa lu !!!

Tuesday, April 10, 2012

Pokok krismas dekat masjid.



Bila dah masuk peringkat remaja, pergi sembahyang jumaat dah tak berapa nak seronok macam zaman dulu. Ada je puaka yang menghasutnya. Masa tu alasan baru balik sekolah dan tak sempat nak siap adalah alasan paling unggul sekali. Punya lah unggul sampai peluang nak kena tampar tu cerah gila.

Bila pergi masjid, penconteng biasanya akan terus menuju ke bawah satu pokok kelapa rendang ni. Masa tu scene baru nak belajar hisap rokok sambil dengar khutbah dari luar tengah in. Sekarang pon penconteng syak tengah in lagi bagi budak-budak baru nak up macam peconteng dulu. Biasanya bila lepak sama-sama puaka tadi, takde topik lain yang dibualkan melainkan cerita pasal makwe jugak.

Ada satu jumaat dalam satu minggu dalam satu bulan dalam satu tahun tu, penconteng seperti biasa menuju ke arah port biasa baru nak belajar hisap rokok. Puaka-puaka baru start nak buka topik cerita. Tapi penconteng tak layan sangat sebab telinga tengah fokus dengar khutbah. Masa tu musim kemarau tapi angin boleh tahan kencang jugak. Pelepah-pelepah kelapa yang dah kering tu habis melurut ke bawah. Tak steady macam zaman dia segar dulu.

" Gua baru beli lighter baru, dia punya api boleh tahan padu jugak ", kata seorang puaka sambil lambung-lambung lighter. Apa cilake pasal lighter pon nak eksyen. Penconteng syak spesies macam ni memang jarang hidup lama.

" Lighter baru ni dia punya minyak boleh refill, kira macam teknologi jugak la ", sambung puaka tadi sambil menyalakan rokok. Tak sedar dia dah bodohkan diri sendiri. Minyak dengan gas pon tak tahu beza. Nampak sangat budak kelas bawah.

Bila penconteng tengok puaka tadi ambil 5-6 kali cubaan jugak nak nyalakan rokok dia terus penconteng sound, " lighter bukan main teknologi lagi, nak cucuh rokok pon susah. Ni lighter gua ni, jangan kata rokok, setakat nak bakar pelepah kelapa tu sekali try pon takde masalah ". Habis je ayat terus penconteng kasi demo sekali.

Tapi entah angin dari mana yang datang, api yang mula-mula kecik tadi tiba-tiba marak. Punya la marak sampai dia merebak ke pelepah atas. Puaka-puaka dah lari lintang pukang bila tengok api dah makan habis satu pokok. penconteng tergamam. Tak sangka sampai begitu hebat sekali teknik pembakaran penconteng.

" Woi !!! Sapa yang buat pokok krismas tu pergi padamkan balik api dia. Aku lempang sorang-sorang karang !! ", jerkah seorang pakcik dari beranda masjid. Sebab penconteng masa tu belum brader-brader lagi, penconteng ikutkan saja cakap pakcik tu. Dalam 7-8 trip jugak la angkut air dari kolah masjid nak kasi api tu padam.

Nama penconteng meletup-letup lepas kejadian tu. Sebut je pokok krismas kat masjid, semua orang tahu penconteng yang punya angkara. Kaki bakar, kaki cucuh, pembisik api dan macam-macam gelaran lagi penconteng dapat masa tu. Tapi penconteng tak riak sangat sebab kalau tahu dek abah memang penconteng pulak yang kene bakar.


Tadi masa penconteng ke masjid, penconteng tengok pokok kelapa tu dah sembuh kembali dari kecederaan penconteng lakukan banyak tahun yang lepas. Bila penconteng teringat balik terus penconteng tersenyum sambil masuk ke dalam masjid dan mengambil tempat di saf depan. Penconteng mula tersedar yang......




kaki bakar sudah menjadi seorang yang matang sekarang..keh keh keh..

Monday, April 9, 2012

Dari Berbual - Lady Of Jalan Bangi.




Penconteng dah perati lama sorang makcik dekat area rumah penconteng ni. Hari-hari dia buat kerja macam biasa, isnin membawak ke selasa, selasa membawak ke rabu, rabu membawak ke khamis dan begitulah seterusnya. Tujuh hari seminggu, tak pernah cuti. Pukul 6 pagi dia dah standby duduk kat port biasa dia dengan sebijik meja. Kadang-kadang dia pakai baju kaler kuning, kadang-kadang kaler merah biji kundang, kadang-kadang kaler hijau pucuk pisang. Pendek kata, ikut dia la nak pakai baju kaler apa pun.

Driver teksi, budak sekolah, brader kerja gomen, abang polis, abang askar, kutu rayau, pekerja mekdi, makwe kilang, kakak cikgu sekolah semua berhenti dekat dia tiap-tiap hari. Pilih-pilih, kasi duit lepas tu jalan. Penconteng syak makcik ni dah banyak berjasa dekat ramai orang. Kalau takde dia kompem ramai orang pergi kerja dengan perut kosong. Bila kerja dengan perut kosong ni, kerja pun jadi tak power sangat. 

Bila kurang power, kurang la produktiviti. Bila produktiviti menurun, sesuatu syarikat itu akan dilanda masalah. Itu kalau pekerja syarikat swasta, kalau pekerja kerajaan macam mana ? Lagilah haru biru, mana yang nak buat kad pengenalan berjam-jam kena tunggu sebab kakak kaunter kerja dengan perut kosong jadi kerja dia tak solid macam biasa. Mana yang nak apply geran tanah pun begitu jugak. 

Budak sekolah belajar dengan perut kosong memang satu ilmu pun tak masuk. Driver bas pulak mulalah drive bas macam celaka sebab lapar sangat. Abang polis tak makan punya pasal mulalah jadi baran semacam. Dekat sini kita boleh tengok betapa pentingnya peranan seorang makcik penjual nasik lemak.

Sekarang ni penconteng nak tanya satu je. Agak-agak boleh ke tidak kita start buat fanpage untuk makcik tu tadi kat fesbuk. Lepas tu kasi la satu title kat dia, baru sedap sikit ye dak ? Kalau tak dapat title " lady of libertypun, dapat title  " lady of jalan bangi " pun dah kira ok.


Penconteng harap lu orang boleh pikir serius tentang hal ni..

Saturday, April 7, 2012

Dari Berbual - Rentak

" Enam tahun !! '', kata puaka di sebelah penconteng tiba-tiba. Penconteng dah mula rasa tak sedap hati. Selalunya kalau puaka ni cakap pesen macam tu maksudnya adalah hikayat yang dia nak ceritakan.

"Apa enam tahun ? ", kata peconteng melayankan saja puaka yang sedang membaling-baling batu ke pasir.

"Enam tahun gua tunggu dia. Sabar tak sabar la gua. Lu cakap mana nak cari lelaki macam gua ni ? Sabar, kuat agama, hensem, banyak duit pulak tu. ", kata puaka sambil menepuk-nepuk dada. Penconteng rasa macam nak mencarut tapi penconteng tahankan dulu. Takut-takut si puaka terus merajuk balik rumah..

" Lu dengar nasihat gua ni, kalau lu minat mana-mana makwe, lu cari dulu rentak cinta tu dulu. Nak cari rentak ni bukan kerja senang, mahu makan tahun-tahun jugak. ", sambung puaka serius sambil melukis-lukis di atas pasir dengan ranting kayu. Dia mula melukis gambar love yang agak besar.

Penconteng angguk perlahan..

" Benda ni lebih kurang sama macam nyanyi lagu karaoke. Kali pertama, kali kedua mungkin lu nyanyi tak ikut rentak lagi. Tapi percaya cakap gua, kalau lu teruskan nyanyi mungkin dalam percubaan keseratus ke keseribu ke lu dah dapat nyanyi dengan rentak yang betul. Lagi padu dari penyanyi asal lagu tu sendiri, " kata puaka dengan berspirit.

" Penting sangat ke benda rentak-rentak ni ? ", tanya penconteng sambil menahan rasa nak mencarut sebab puaka ni mengaku hensem sebentar tadi.

" Haah, lu jangan ambil mudah pasal rentak ni. Gua serius nak bagi nasihat kat lu ", jawab puaka sambil tiba-tiba berdiri dan melepaskan keluhan.

" Ok, gua dengar nasihat lu. Tapi apa-apahal pon gua nak tahu, lu cari-cari rentak sampai 6 tahun ni sekarang makwe tu dah suka kat lu la ek ? ", soal penconteng dengan hati membuak-buak dengan perasaan ingin tahu.




" Haram. !! ", jawab puaka ringkas.


Malam itu dengan bersaksikan awan biru di langit, seorang lagi puaka tewas dalam percintaan.

Friday, April 6, 2012

Dari Berbual - god of cookery.




Bila sebut pasal makanan dan masakan, kita akan terbayang golongan mak, chef yang kebanyakannya lelaki, pakcik tukang masak dekat kenduri dan brader tukang masak kedai siam. Penconteng bukan nak mempersoalkan jantina siapa lagi hebat, jangan risau, penconteng bukan ultras lelaki cuma penconteng nak memberi pendapat kenapa kebanyakan makanan yang dimasak oleh golongan lelaki lebih power dari golongan makwe.

Penconteng percaya golongan makwe terlalu mengharapkan buku resipi ketika baru hendak belajar memasak. Ketika golongan makwe sibuk membelek buku resipi, golongan lelaki telah mempersetankan buku resipi dan mencuba bereksperimental dengan berbagai jenis masakan. Mereka menolak norma dan undang-undang dalam memasak. Apa yang golongan lelaki pentingkan ialah lidah mereka. 

Kadang-kadang golongan lelaki turut melawan arus ketika memasak. Mereka terlalu rebel dalam masakan hinggakan seringkali mereka membuat sesuatu yang gila seperti meletakkan bunga kantan dalam sup. Tetapi hanya sesuatu yang gila mampu menjadi sesuatu yang genius. Terlalu biasa dan berhati-hati boleh membosankan dan inilah kesilapan yang selalu dilakukan oleh golongan makwe.

Fokus ketika memasak. Penconteng sangat yakin golongan lelaki lebih fokus ketika memasak. Bila mereka turun ke dapur, mereka telah bersedia memberikan segala tumpuan pada masakan. Rasa hormat dan fokus pada masakan membuatkan makanan itu mempunyai soul yang tersendiri. 

Berlainan dengan golongan makwe yang selalu melakukan kesilapan kedua, tidak respek pada seni memasak. Memotong bawang sambil bergayut dengan pakwe, tengah menumis sempat lagi jeling ke rancangan melodi kat tivi, tunggu kuah mendidih pun sempat belek cermin lagi menyebabkan masakan mereka hilang punca.

Seperti yang kita tahu,keadaan dapur ketika golongan lelaki sedang memasak adalah sangat neraka. Lesung batu, pisau, penapis, blender, bawang, periuk bergelimpangan tetapi ini juga yang menyebabkan makanan mereka mempunyai rasa. Suasana memasak yang havoc dan fun menyebabkan lelaki lebih bersemangat ketika memasak.

Cuba bayangkan golongan makwe memasak. Lepas guna piring sebijik basuh, lepas ambil sos tiram simpan semula dalam peti ais, lepas tapis santan, basuh semula penapis. Ini sangat-sangat skema. Cara memasak yang terlalu skema menyebabkan golongan makwe telah membahagikan otak mereka. 

Mereka harus tahu yang bila memasak kita harus memasak sahaja. Kerja-kerja membasuh perkakas dan menyimpan barang harus dilakukan ketika kerja memasak sudah siap atau pun telinga dipulas oleh mak sahaja. Seni memasak adalah seni yang senang dipelajari tetapi sukar dimahiri. Celaka, power jugak ayat  penconteng ni..

Penconteng harap golongan makwe yang membaca entri penconteng ini dapat belajar sesuatu. Cuba jadi sesuatu yang wild atau seekor Kitchen Animal ketika memasak, percayalah anda akan melihat perbezaannya. Ketika penconteng menulis entri ini, penconteng baru sahaja lepas memasak. Dan hari ini, penconteng belajar sesuatu, terlalu kreatif juga boleh membunuh.



Maggi goreng asam laksa misalnya..



P/s: Kalau lu orang kata lu orang sudah terlalu terlambat untuk belajar memasak, lu orang gila !!!